Nukilan Hati

Jumaat, 21 Oktober 2016

JALAN MENUJU CINTA ABADI


Antara perkara yang paling sukar dalam menempuhi sesi penghijrahan untuk kekal menjadi baik pada pandangan mataNya adalah mengekalkan momentum dengan kebaikan atau  dengan bahasa yang lebih islamik, istiqamah.

Ya, istiqamah.

Istiqamah memakai tudung meski teringin juga bergaya freehair dengan rambut bergelung gelung berterbangan di udara
Istiqamah untuk terus berwatakkan lelaki meski dalam hati berbunga bunga pinky
Istiqamah melakukan solat fardu lima waktu walaupun member rapat memaki keji

Ya, istiqamah untuk taat dan melakukan perkara yang disukai Allah itu amat susah,payah.

Sehinggakan dikisahkan bagaimana Rasulullah sendiri beruban apabila turun wahyu yang satu ini:

"Maka tetaplah engkau (di jalan yang benar), sepertimana yang telah diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang bertaubat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sungguh, Dia Maha Melihat apa yang kau kerjakan."
[Huud, 11:112]

Kuatkanlah.
Istiqamahlah.
Tetaplah engkau.

Sekiranya kita faham ayat ini,kemungkinan besar kita jua akan beruban seperti Baginda ataupun silap hari bulan luruh kesemua rambut menjadi botak berkepala licin. Fuhhhh.

Istiqamah ini adalah amalan yang paling dicintai  Allah. Walau sedikit usaha untuk beristiqamah,
Meski secubit untuk istiqamahnya.

"Amalan yang paling disukai Allah adalah amalan yang berterusan walaupon sedikit."

[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]

Justeru,bagaimana mahu untuk kekal istiqamah? Bagaimana cara untuk terus dalam beramal kebaikan? Bagaimana untuk tetap mendekatkan diri tanpa berpaling arah pada yang lain? Bagaimana? Dan bagaimana?

Soalan ini sentiasa memenuhi ruang sesi QnA saya dengan followers di telegram. Untuk membalas soalan ini sahaja sudah boleh mengeringkan idea untuk menjawab soalan soalan seterusnya.

Ya, bagaimana untuk kekal istiqamah tanpa ada rasa penat lelah?

Aku bertanya pada ustazah, jawapannya tersangat hambar. Aku bertanya pada kawan, jawapannya hanyalah sekadar angin berterbangan.

Rupanya jawapan itu bukan terletak pada manusia namun terletak di dalam al quran. Selaklah al quran dan fahamkan ayat ini.

Allah sudah lama membekalkan cara untuk istiqamah menerusi ayat ayatNya.

"Tidakkah kamu melihat memerhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik adalah seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit.


(Pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat."

[Ibrahim, 14:24-25]

Apa kaitannya pokok dengan istiqamah? Satu perbandingan yang agak menarik untuk dikupas bersama sama.

Apakah ‘’secret recipe’’untuk istiqamah yang terkandung di dalam ayat ini?

i). Akarnya kuat

Akarnya kuat adalah satu simbol aqidah yang mantap dan kukuh.Hanya mereka yang benar-benar beriman kepadaNya dengan sepenuh jiwa raga sahaja yang benar benar dapat memahami istiqamah. Hanya bagi mereka yang tidak berputus asa dalam menjadi hamba kepadaNya yang akan terus kuat dan tabah sebagai hamba kepada pencipta.

"Sesungguhnya orang-orang yang berkata, 'Tuhan kami adalah Allah,' kemudian mereka tetap istiqamah, tidak ada rasa khuatir dalam diri mereka dan mereka pula tidak bersedih hati."

[al-Ahqaf, 46:13]

Orang yang tinggi keyakinan serta keimanan mengaku bahawa "Tuhan kami adalah Allah" tidak punya sebab  untuk hati berasa risau, sedih dan takut apabila berhadapan dengan segmen segmen dunia di luar sana.


Dia merasakan dirinya sentiasa dibawah jagaan Tuhan yang berpandukan hidayah yang mengelus lembut hati nuraninya.

Apabila dia ditimpa musibah, bibirnya tetap tersenyum dan hatinya tetap berkonferens riang kerana dia tahu bahawa perancangan Allah semestinya yang terbaik untuk dirinya.

Disebabkan itu, aqidah yang kukuh dan kuat adalah asas untuk kekal dijalan istiqamah.


ii). Cabangnya menjulang ke langit

Apabila akarnya yang jauh mencekam di dalam bumi maka akan terhasilah cabang dan ranting yang melangit tinggi. Tinggi bercabang menjulang pelangi.

Aqidah yang kukuh pasti akan membuahkan fikrah yang sejahtera. Cara berfikir atau ideologi yang membawa hidup kita sehari demi sehari.

Andai aqidah kita berpaksi pada ajaran syiah, pastilah kita akan berfikrah syiah.
Andai aqidah kita berpaksikan kapitalisme, cara fikir juga sudah tentu akan berpaksikan kapitalisme. 
Dan jika akar aqidah kita berpaksikan kepada islam sudah tentulah cara kita berfikir berasaskan islam.

Nak couple dengan awek cun boleh ke tidak.
 Nak pakai seluar londeh sampai nampak underware boleh ke tidak.
 Nak kencing pancut kat belakang bangunan boleh ke tidak.

Semuanya bermula daripada fikrah yang baik. Hanya dengan fikrah yang jelas dan sahih sahaja dapat memandu diri untuk menentukan cara yang paling tepat untuk dilaksanakan dalam sesuatu tempat dan masa. 

iii). Menghasilkan buahnya pada setiap waktu

Buah daripada aqidah yang kukuh dan fikrah yang baik, sudah tentulah menghasilkan amal yang bermanfaat yang bukan hanya untuk dirinya sahaja namun setiap orang yang berada di sekitarnya. 

Untuk tetap beristiqamah, seseorang itu mestilah beramal dengan apa yang diyakini agar dia sendiri merasai keenakkan daripada amal itu.

Apabila orang lain turut merasai faedah daripada amalnya, perasaan bahagia dengan usapan lembut itu membuatkan seseorang itu berasa kuat dan bersemangat untuk meneruskan jalan amal ini.
'tu'ti ukulahaa kulla hiin'


-Dia bukan sahaja menghasilkan buah, bahkan dia menghasilkan buahnya pada setiap waktu! –

Andai buah durian ada musimnya.
Andai buah jambu merah ada musimnya.

Namun orang yang beristiqamah, buahnya manis dan segar untuk dinikmati oleh sesiapa sahaja pada setiap masa dan ketika.

Allahuakbar.

Rasulullah berdakwah mengambil masa dua puluh tiga tahun lamanya. Tiga belas tahun di Mekah dan sepuluh tahun di Madinah.

Buahnya?
Hingga kini kita dapat menikmati kemanisan islam!

Kerana istiqamahnya Nabi SAW dan para sahabat Baginda, buah buah ini tumbuh segar dan subur yang dapat dipetik oleh setiap orang yang melalui pokok islam yang lebih seribu empat ratus tahun lamanya.

Tu'ti ukulahaa kulla hiin

Senyum

iv). Dengan izin Tuhannya


Dan penghujungnya, istiqamah ini hanya sahaja dengan izinNya. Hanya sahaja.
Oleh itu, jangan sesekali lupa untuk terus bermunajat agar ditetapkan hati kita di atas jalan istiqamah ini.

 Moga dikuatkan jiwa dan roh kita untuk sentiasa berada di jalan kebenaran.

Sungguh Allah lah yang memegang hati-hati kita. Dialah yang mengetuai ke seluruh alam dan apa apa sahaja yang terkandung di dalamnya. Justeru, siapa lagi yang boleh kita harapkan dan bergantung kalau bukan Allah?

"Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk (dalam semua kebaikan dunia dan akhirat); dan barangsiapa yang disesatkan-Nya, maka kamu tidak akan mendapat seorang penolongpun yang dapat memberi petunjuk kepadanya."

[al-Kahfi, 18:17] 

Semoga kita tergolong dalam golongan yang diberi petunjuk oleh Allah.

..

So amacam?
Susah kan untuk beristiqamah? Tapi tidak mustahil bukan?

Atau anda masih ragu?
Masih terasa susah dan lelah?

Bacalah ini,

"Sesungguhnya orang-orang yang berkata 'Tuhan kami adalah Allah' kemudian mereka istiqamah, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), 'Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu bersedih hati; dan bergembiralah kamu dengan syurga yang telah dijanjikan kepadamu.'"

[Fussilat, 41:30]

Andai bukan malaikat malaikat yang turun untuk memberi semangat yang waja, saya kehabisan akal untuk memujuk kita agar kekal beristiqamah.

Andai bukan kerana janji Allah yang berupakan syurga yang luasnya melebihi langit dan bumi, saya ketiadaan kata untuk membahagiakan kita agar kekal beristiqamah.

Dan andai bukan kerana Nabi SAW dan para sahabat yang telah bersusah payah menunjukkan jalan kepada kita, saya tidak tahu lagi bagaimana untuk menyakinkan agar kita kekal di landasan istiqamah.

Wahai sahabat,

Istiqamahlah, agar kita dapat merasai kelazatan cintaNya yang bukan terbatas di dunia namun hingga ke syurga.


Lambai tangan

-The Alyaa Ibrahim-

Maaf andai begitu lama tidak menulis. Terasa  lama tidak memerahkan otak. Perasaan lama ini kadang ditutupi dengan kesibukan duniawi.


Moga buah tulisan ini dapat dibaca bukan anda sahaja namun segenap makhluk Allah yang bernama manusia.