Antara perkara yang paling sukar dalam menempuhi sesi
penghijrahan untuk kekal menjadi baik pada pandangan mataNya adalah mengekalkan
momentum dengan kebaikan atau dengan
bahasa yang lebih islamik, istiqamah.
Ya, istiqamah.
Istiqamah memakai tudung meski teringin juga bergaya freehair
dengan rambut bergelung gelung berterbangan di udara
Istiqamah untuk terus berwatakkan lelaki meski dalam hati
berbunga bunga pinky
Istiqamah melakukan solat fardu lima waktu walaupun member
rapat memaki keji
Ya, istiqamah untuk taat dan melakukan perkara yang disukai
Allah itu amat susah,payah.
Sehinggakan dikisahkan bagaimana Rasulullah sendiri beruban
apabila turun wahyu yang satu ini:
"Maka tetaplah engkau (di jalan yang benar),
sepertimana yang telah diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang bertaubat
bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sungguh, Dia Maha Melihat apa
yang kau kerjakan."
[Huud, 11:112]
Kuatkanlah.
Istiqamahlah.
Tetaplah engkau.
Sekiranya kita faham ayat ini,kemungkinan besar kita jua
akan beruban seperti Baginda ataupun silap hari bulan luruh kesemua rambut
menjadi botak berkepala licin. Fuhhhh.
Istiqamah ini adalah amalan yang paling dicintai Allah. Walau sedikit usaha untuk beristiqamah,
Meski secubit untuk istiqamahnya.
"Amalan yang paling disukai Allah adalah amalan yang
berterusan walaupon sedikit."
[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]
Justeru,bagaimana mahu untuk kekal istiqamah? Bagaimana cara
untuk terus dalam beramal kebaikan? Bagaimana untuk tetap mendekatkan diri
tanpa berpaling arah pada yang lain? Bagaimana? Dan bagaimana?
Soalan ini sentiasa memenuhi ruang sesi QnA saya dengan
followers di telegram. Untuk membalas soalan ini sahaja sudah boleh
mengeringkan idea untuk menjawab soalan soalan seterusnya.
Ya, bagaimana untuk kekal istiqamah tanpa ada rasa penat
lelah?
Aku bertanya pada ustazah, jawapannya tersangat hambar. Aku
bertanya pada kawan, jawapannya hanyalah sekadar angin berterbangan.
Rupanya jawapan itu bukan terletak pada manusia namun
terletak di dalam al quran. Selaklah al quran dan fahamkan ayat ini.
Allah sudah lama membekalkan cara untuk istiqamah menerusi
ayat ayatNya.
"Tidakkah kamu melihat memerhatikan bagaimana Allah
telah membuat perumpamaan kalimah yang baik adalah seperti pohon yang baik,
akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit.
(Pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya. Dan
Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat."
[Ibrahim, 14:24-25]
Apa kaitannya pokok dengan istiqamah? Satu perbandingan yang
agak menarik untuk dikupas bersama sama.
Apakah ‘’secret recipe’’untuk istiqamah yang terkandung di
dalam ayat ini?
i). Akarnya kuat
Akarnya kuat adalah satu simbol aqidah yang mantap dan
kukuh.Hanya mereka yang benar-benar beriman kepadaNya dengan sepenuh jiwa raga
sahaja yang benar benar dapat memahami istiqamah. Hanya bagi mereka yang tidak
berputus asa dalam menjadi hamba kepadaNya yang akan terus kuat dan tabah
sebagai hamba kepada pencipta.
"Sesungguhnya orang-orang yang berkata, 'Tuhan kami
adalah Allah,' kemudian mereka tetap istiqamah, tidak ada rasa khuatir dalam
diri mereka dan mereka pula tidak bersedih hati."
[al-Ahqaf, 46:13]
Orang yang tinggi keyakinan serta keimanan mengaku bahawa "Tuhan
kami adalah Allah" tidak punya sebab untuk hati berasa risau, sedih dan takut
apabila berhadapan dengan segmen segmen dunia di luar sana.
Dia merasakan dirinya sentiasa dibawah jagaan Tuhan yang
berpandukan hidayah yang mengelus lembut hati nuraninya.
Apabila dia ditimpa musibah, bibirnya tetap tersenyum dan
hatinya tetap berkonferens riang kerana dia tahu bahawa perancangan Allah
semestinya yang terbaik untuk dirinya.
Disebabkan itu, aqidah yang kukuh dan kuat adalah asas untuk
kekal dijalan istiqamah.
ii). Cabangnya menjulang ke langit
Apabila akarnya yang
jauh mencekam di dalam bumi maka akan terhasilah cabang dan ranting yang
melangit tinggi. Tinggi bercabang menjulang pelangi.
Aqidah yang kukuh
pasti akan membuahkan fikrah yang sejahtera. Cara berfikir atau ideologi yang
membawa hidup kita sehari demi sehari.
Andai aqidah kita
berpaksi pada ajaran syiah, pastilah kita akan berfikrah syiah.
Andai aqidah kita
berpaksikan kapitalisme, cara fikir juga sudah tentu akan berpaksikan
kapitalisme.
Dan jika akar aqidah kita berpaksikan kepada islam sudah
tentulah cara kita berfikir berasaskan islam.
Nak couple dengan awek cun boleh ke tidak.
Nak pakai seluar londeh
sampai nampak underware boleh ke tidak.
Nak kencing pancut kat belakang
bangunan boleh ke tidak.
Semuanya bermula daripada fikrah yang baik. Hanya dengan
fikrah yang jelas dan sahih sahaja dapat memandu diri untuk menentukan cara yang
paling tepat untuk dilaksanakan dalam sesuatu tempat dan masa.
iii). Menghasilkan
buahnya pada setiap waktu
Buah daripada aqidah
yang kukuh dan fikrah yang baik, sudah tentulah menghasilkan amal yang
bermanfaat yang bukan hanya untuk dirinya sahaja namun setiap orang yang berada
di sekitarnya.
Untuk tetap beristiqamah, seseorang itu mestilah beramal dengan
apa yang diyakini agar dia sendiri merasai keenakkan daripada amal itu.
Apabila orang lain turut merasai faedah daripada amalnya,
perasaan bahagia dengan usapan lembut itu membuatkan seseorang itu berasa kuat
dan bersemangat untuk meneruskan jalan amal ini.
'tu'ti ukulahaa kulla hiin'
-Dia bukan sahaja menghasilkan buah, bahkan dia menghasilkan
buahnya pada setiap waktu! –
Andai buah durian ada musimnya.
Andai buah jambu merah ada musimnya.
Namun orang yang beristiqamah, buahnya manis dan segar untuk
dinikmati oleh sesiapa sahaja pada setiap masa dan ketika.
Allahuakbar.
Rasulullah berdakwah mengambil masa dua puluh tiga tahun lamanya. Tiga belas
tahun di Mekah dan sepuluh tahun di Madinah.
Buahnya?
Hingga kini kita dapat menikmati
kemanisan islam!
Kerana istiqamahnya Nabi SAW dan para sahabat Baginda, buah buah ini tumbuh
segar dan subur yang dapat dipetik oleh setiap orang yang melalui pokok islam
yang lebih seribu empat ratus tahun lamanya.
Tu'ti ukulahaa kulla hiin
Senyum
iv). Dengan izin Tuhannya
Dan penghujungnya, istiqamah ini hanya sahaja dengan izinNya. Hanya
sahaja.
Oleh itu, jangan sesekali lupa untuk terus bermunajat agar ditetapkan
hati kita di atas jalan istiqamah ini.
Moga dikuatkan jiwa dan roh kita untuk
sentiasa berada di jalan kebenaran.
Sungguh Allah lah yang memegang hati-hati kita. Dialah yang mengetuai ke
seluruh alam dan apa apa sahaja yang terkandung di dalamnya. Justeru, siapa
lagi yang boleh kita harapkan dan bergantung kalau bukan Allah?
"Barangsiapa yang diberi
petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk (dalam semua kebaikan
dunia dan akhirat); dan barangsiapa yang disesatkan-Nya, maka kamu tidak akan
mendapat seorang penolongpun yang dapat memberi petunjuk kepadanya."
[al-Kahfi, 18:17]
Semoga kita tergolong dalam
golongan yang diberi petunjuk oleh Allah.
..
So amacam?
Susah kan untuk beristiqamah? Tapi tidak mustahil bukan?
Atau anda masih ragu?
Masih terasa susah dan lelah?
Bacalah ini,
"Sesungguhnya orang-orang yang berkata 'Tuhan kami
adalah Allah' kemudian mereka istiqamah, maka malaikat-malaikat akan turun
kepada mereka (dengan berkata), 'Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu
bersedih hati; dan bergembiralah kamu dengan syurga yang telah dijanjikan
kepadamu.'"
[Fussilat, 41:30]
Andai bukan malaikat malaikat yang turun untuk memberi
semangat yang waja, saya kehabisan akal untuk memujuk kita agar kekal
beristiqamah.
Andai bukan kerana janji Allah yang
berupakan syurga yang luasnya melebihi langit dan bumi, saya ketiadaan kata
untuk membahagiakan kita agar kekal beristiqamah.
Dan andai bukan kerana Nabi SAW dan
para sahabat yang telah bersusah payah menunjukkan jalan kepada kita, saya
tidak tahu lagi bagaimana untuk menyakinkan agar kita kekal di landasan
istiqamah.
Wahai sahabat,
Istiqamahlah, agar kita dapat merasai kelazatan cintaNya yang bukan terbatas di
dunia namun hingga ke syurga.
Lambai tangan
-The Alyaa Ibrahim-
Maaf andai begitu lama tidak menulis. Terasa lama tidak memerahkan otak. Perasaan lama ini
kadang ditutupi dengan kesibukan duniawi.
Moga buah tulisan ini dapat dibaca
bukan anda sahaja namun segenap makhluk Allah yang bernama manusia.